Saturday, November 13, 2010

Suatu ketika dulu di KL - kisah bas mini

Minggu ni sibuk betul, termasuk kerja outstation ke JB.  Yang paling seronok dapat berjumpa kembali rakan kelas semasa Tingkatan 4 dan 5 Sains 2 di SMP Jalan Ampang, K. Lumpur, Umi Kalthum yang telah bermastautin di Senai, macam-macam nak flashback sejarah hidup dan update diri masing-masing setelah berpisah selama 30 tahun (betul-betul selepas SPM).  Terima kasih Facebook kerana telah mempertemukan sahabat yang terpisah.  Selama ni memang susah memikirkan cara nak mencari kawan-kawan lama ni.  Bertemu selama 3 jam nak bongkar sejarah hidup selama 30 tahun, sememangnya tak cukup.......tak pe nanti kita berjumpa lagi, ya Umi.

Bercakap fasal flashback ni, teringat kisah bas mini di bandaraya KL.  Kalau tak silapnya sejak pertengahan tahun 70an lagi khidmat bas mini mula diperkenalkan hinggalah diberhentikan operasinya melungsuri jalan-jalanraya di KL ni pada tahun 90an.  Banyak nostalgia nya bas mini ni, ada yang lucu, ada yang mengerikan, tapi kiranya bas mini ni menguasai atau menjadi Raja di jalan-jalanraya di KL sepanjang tempoh tersebut.

Masa mula-mula operasinya, tiket bas mini cuma 40 sen, tak kira nak berhenti di mana, tetap 40 sen sekali naik bas.  Di peringkat awal dulu bas nya betul-betul mini, ala-ala rupa coach yang hanya boleh memuatkan 10-12 orang saja.  Bayangkan coach sedemikian rupa, tapi ada juga penumpang bas yang berdiri, hmmmm....kalau yang berdiri tu tinggi orangnya, seolah-olah rukuk lah orang tu dalam bas.  Tapi tak lama lepas tu bas-bas mini ala coach tu tak beroperasi lagi dan digantikan dengan bas mini yang kita lihat sekarang ni.  Lepas tu tambangnya naik menjadi 60 sen.

Banyak juga nostalgiaku tentang bas mini ni.  Antaranya :

- Penumpang : Selalunya bas mini angkut penumpang sampai sepadat-padatnya.  Konduktor dan pemandu bas siap "menyusun" posisi penumpang yang terpaksa berdiri dalam bas sambil konduktor menjerit "Masuk belakang, masuk belakang, buat 2 barisan".  Kadangkala pemandu bas enggan meneruskan perjalanan kalau penumpang tidak memberikan kerjasama untuk masuk ke belakang dan buat 2 barisan dalam bas.  Sekali-sekala terdengar juga penumpang yang dah sememangnya berdiri di belakang sekali melepaskan rasa bengang dengan membebel "mana lagi nak masuk, dah belakang pun suruh orang masuk lagi....ni nak suruh orang keluar kat pintu kecemasan ke...".  Ada juga penumpang yang berdiri di tangga bas terpaksa bergayut di palang besi pintu bas, maka yang berbaju kurung apa lagi, berkibar-kibarlah kain sarung penumpang wanita macam kibaran bendera aje di pintu bas mini tu.

- Konduktor : Sesiapa yang jadi konduktor bas mini kena melakukan lagak ngeri dan berani (stunts) sebabnya konduktor kena berdiri di tangga/pintu bas.  Kalau bas dah penuh sangat dengan penumpang, akan kelihatanlah badan konduktor di luar bas dengan kedua tangannya bergayut di palang besi di pintu bas.  Kalau bas mini ambil selekoh, memang kadangkala rasa/nampak macam nak terbalik bas tu.  Konduktor bas mini juga tak boleh yang soft spoken sebab memang tugasnya kena menjerit suruh penumpang masuk ke belakang dan buat 2 barisan....Banyak kali juga sebab bas terlalu padat, penumpang akan tolong pass-pass kan duit tambang penumpang kat belakang kepada konduktor di depan yang tak dapat masuk ke dalam bas sebab terlalu sendat dan padat.

- Driver : Kebanyakan bas mini memang dipandu laju sebab nak rebut penumpang.  Pemandu bas mini memang berani, sebab memang ciri-ciri perkhidmatan bas mini ni berhenti kat mana sesuka hati dan tak semestinya di stesen bas.  Kadangkala kalau kebetulan loceng bas berbunyi 2-3 kali sebab ditekan oleh 2-3 orang penumpang yang nak berhenti di stesen seterusnya, ada pemandu yang naik angin dan terus menekan emergency brake dan paksa penumpang turun di situ juga.  Macam-macamlah perangai manusia ni.

Tapi tak dinafikan, bas mini ni memang jadi saviour (penyelamat) kepada ribuan penduduk kotaraya KL sebab kelajuannya serta kekerapan (frequency) bas yang datang; selalunya kalau terlepas sebuah bas tak lama selepas tu muncullah sebuah bas mini lain.  Almaklumlah KL ni selalu traffic jam, jadi bas mini memang menjadi pengangkutan utama pengguna pengangkutan awam. Cepat tiba di destinasi walaupun nyawa kita kadangkala diperjudikan.

Masa aku bersekolah menengah dulu, memang pergi-balik sekolah naik bas mini.  Peristiwa lucu yang berlaku pernah sekali tu, bas mini yang ku naiki membuat brek kecemasan, mengakibatkan seorang lelaki dewasa jatuh terduduk di atas riba ku......merah padam muka mamat tu.....heheheh.  Ada suatu ketika tu pula, ada konduktor bas mini tu mukanya "sebiji" Aman Shah....penyanyi pujaan ramai tahun 80an....apa lagi budak-budak remaja perempuan akan tunggu bas konduktor Aman Shah aje lah.....walaupun bas-bas mini sebelumnya agak kosong dan hanya dibiarkan berlalu pergi.  Tapi ada juga kemalangan mengakibatkan bas mini yang terbalik ketika mengambil selekoh mengakibatkan konduktor nya yang bergayut di pintu mati terhempap bas.

Walau apapun, perkhidmatan bas mini diberhentikan pada tahun 90an kerana dikatakan menjadi antara punca kesesakan jalanraya di KL.  Masa tu aku dah tidak menaiki bas lagi, dan sebagai pemandu kereta pemberhentian operasi bas mini tidak banyak menjejaskan ku, cuma jalanraya KL tak lah sesesak dahulu dengan bas mini.  Anak-anakku tak merasai semua ni, sebab bas pengangkutan awam sekarang hampir kesemuanya bas maxi.... (kecuali bas mini  feeder bus di beberapa stesen komuter di Lembah Kelang) 

No comments:

Post a Comment