Friday, November 5, 2010

Memoriku.....India

Hari ini bersempana Deepavali 2010 aku mula menulis dalam blogku sendiri.  Terlalu banyak perjalanan hidup yang telah ku tempuhi.  Kadangkala bila kukenangi kembali perjalanan yang telah ku tempuhi...maksudku "perjalanan" yang sebenar-benarnya perjalanan, aku melihat sepasang kaki ini hampir tidak aku mempercayainya kerana hampir semua benua telah kujejaki buminya atas dasar bertugas.  India, USA, UK, Ecuador, Indonesia, Canary Islands, Japan, Thailand, Vietnam, Timor Leste tidak termasuk bumi asing yang persinggahanku hanya seketika cuma atas nama "transit" termasuklah Kepulauan Hawaii, Zurich, Caracas, Bogota, Madrid dan Frankfurt.

India, destinasi pertama aku keluar negara.  Masa itu aku bertugas sebagai pegawai bertaraf kontrak di Unit Taska, Kementerian Kebajikan Masyarakat.  Disember, 1988...sebagai Pegawai Media aku berserta beberapa rakan lain dari Unit yang sama bertolak ke New Delhi melalui Singapura menaiki KLM.  Ibu ayah menghantarku ke Lapanganterbang Subang ketika itu, walaupun pemergianku cuma seminggu tapi sebab my first trip abroad.....wow..macamanalah agaknya, fikirku.  Penerbangan transit di Singapura sekejap aje, tapi flight ke New Delhi delayed lah pulak...agak lama juga melebihi 5 jam.  Kecanggihan dan facilities airport Changi di Singapura tidak mampu menghalang kemarahan penumpang yang terpaksa menunggu, lebih-lebih lagi warga India yang agaknya tak terdaya menahan rasa rindu terhadap keluarga mereka.

Nostalgiaku semasa di India...setibanya aku di Lapanganterbang Antarabangsa Indira Gandhi telah mula kurasai kesejukan cuaca di India, almaklumlah suhu dingin di bulan Disember lebih kurang 1-5 darjah Celcius..besar juga airport India ni, fikirku...Dalam toilet lagi aku diekori oleh peminta sedekah yang bertugas sebagai pencuci tandas.  Setelah urusan dokumentasi selesai, kami menuju ke pintu keluar mendapatkan teksi.  Kaget aku melihat teksi yang berdekorasi dengan renda yang rambu-ramba di dashboard dan cermin hadapan kereta.  Beg-beg besar hanya diletak dan diikatkan di atas bumbung teksi.    Benarlah kata orang, jauh berjalan luas pemandangan.  Asyik melihatkan pemandangan baru buatku di negara orang, kami dikejutkan apabila seorang pengemis mengetuk2 tingkap kereta sambil merayu-rayu meminta wang dan menunjuk-nunjukkan anak-anaknya yang diletakkan di tepi simpang jalan.  Tindakannya agak agresif namun pemandu teksi membatukan diri....mujurlah ketika itu lampu isyarat bertukar hijau dan teksi meluncur laju ke destinasi yang kami tuju.

Perjalanan di jalanraya sepanjang seminggu di sana agak menarik di mana pada pengamatanku :
- Hampir setiap saat kedengaran bunyi hon kenderaan di jalanraya
- Setiap bas, lori dan teksi dihiasi renda berambu-ramba di dashboard dan cermin hadapan
- Amat jarang sekali kelihatan pemandu kenderaan wanita, hampir kesemuanya lelaki
- Pembonceng motorsikal wanita duduk mengiring (macamana budak perempuan di kampung  membonceng basikal)
- Bukan hanya lembu, bahkan kuda, unta, gajah dan khinzir juga boleh dilihat turut sama "berjalan" di atas jalanraya
- Ada juga kelihatan lelaki dewasa membuang air kecil sambil berdiri di tepi jalan yang agak sibuk (???)
- Menjelang petang di sesetengah kawasan sudah kelihatan katil lipat (kalau zaman dulu katil ini digunakan oleh Jaga untuk tidur) dibuka di pembahagi jalan yang agak lebar...(kemungkinan golongan yang tidak berumah)

Orang-orangnya ramai betul yang cantik jelita dan kacak...di India utara ni ramai yang "rosy cheeks", hidung mancung, mata biru kehijau-hijauan, rambut keperang-perangan (asli, atau mungkin diinai), bahasa Inggeris mereka perfect siap dengan lengguk kepala dan slanga yang pekat.  Kalau kita kata "Just now" dan tentulah bermaksud "tadi" tapi mereka maksudkan "sekarang".  Waktu makan tengahari ramai yang membawa lunch pack mereka di halaman ofis (atas padang) sambil duduk2 dan makan roti dan minum bekalan air yang dibawa, cuaca tengahari memang agak nyaman di musim sejuk begini.  Kami yang tinggal di hostel disajikan roti sebagai sarapan, hmm...rotinya walaupun fresh tapi agak "keras"..kalau di tempat kita mungkin dah 4-5 hari roti ni, fikirku.  India juga mengamalkan cara hidup sebagai "tipping society" justeru ke mana-mana kita pergi seharusnya kita menyediakan tips. 

Kami jua mengambil kesempatan sehari sebelum bertolak balik untuk menziarahi Taj Mahal.  Perjalanan dari New Delhi ke Agra agak jauh juga..kalau tak silapnya dalam 4-5 jam menaiki kereta (coach).  Sepanjang perjalanan kami berhenti sekali-dua untuk coach driver minum kopi di warung tepi jalan.  Kami sememangnya membawa bekal air sendiri kerana berkali-kali telah dipesan sebelum bertolak lagi untuk minum air dalam botol sahaja.  Di warung yang kami berhenti tu, coach driver memesan air teh, mak aihhh...tak sanggup kami minum di situ sebab mejanya penuh dengan lalat! Dalam pada itu, ada seorang budak membawa seekor beruk untuk membuat pertunjukan yang agak menarik di situ.

Taj Mahal, suatu pengalaman yang memang sukar nak digambarkan dengan kata-kata.  Setibanya kami di pintu masuk dan ketika terlihatnya Taj Mahal, mulutku seolah-olah terlopong dan sukar mengebilkan mata kerana tidak percaya melihat Taj Mahal yang tersergam begitu indah di depan mata.  Rakanku Normah memintaku mencubit lengannya kerana beliau juga tak percaya melihat Taj Mahal di depan kami.  Sungguh sukar nak digambarkan dengan kata-kata akan perasaanku..seolah-olah nafasku tersekat, bulu roma agak meremang, pemandangan Taj Mahal yang agak berbalam-balam kerana cuaca petang serta suhu sejuk yang mencengkam tubuh, kesemuanya menyebabkan kami rasa seperti dibuai satu perasaan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.  Dengan pengetahuan sejarah yang kami belajar dahulu mengenai pembinaan Taj Mahal, yang kota di mana Shah Jahan dipenjarakan oleh anak sendiri yang merampas takhta boleh dilihat dengan jelas dari Taj Mahal, boleh menjadikan kita berperasaan agak sebak dalam situasi begitu.  Dinding Taj Mahal yang dihiasi indah dengan batu-batu permata, nilam dan zamrud; yang mana akhirnya para pengukir hiasan tersebut telah dicacatkan mata/tangan agar tiada hiasan seumpamanya akan terhasil....wah..zalimnya, fikirku.  Tapi yang menjadi kekagumanku ialah bagaimana blok-blok marmar sebesar itu dibawa ke lokasi dan dibina sebegitu rupa tanpa bantuan peralatan canggih dan moden seperti sekarang ini?  Kalau pembinanya orang Muslim, ku pohonkan doa agar roh mereka dicucuri rahmatNya.  memang hebat binaan Taj Mahal ni, patutlah ianya menjadi salah satu keajaiban dunia!      

Namun perjalananku ke India sememangnya sukar dilupakan.  Perasaan kasih dan kasihan melihat kanak-kanak yang terpaksa hidup melarat, di kawasan pembinaan bangunan di mana ibu-bapa mereka bekerja sebagai buruh binaan, turut menginsafkanku.  Anak-anak itu diselaputi habuk binaan dari hujung rambut hingga ke kaki (ya, mereka juga berkaki ayam), hidup kais pagi makan pagi sebagaimana ibu-bapa mereka.  Seperkara lagi, di sana juga telah lama diwujudkan pusat tempat di mana bayi-bayi yang "tidak dikehendaki" oleh ibu-bapa mereka akan di"tinggalkan" di dalam bekas seolah-olah "buaian" di pintu masuk pusat tersebut.  Apabila baru-baru ini pusat seumpamanya ditubuhkan di Malaysia bagi membendung masalah pembuangan bayi, lalu kuteringat akan pusat yang sama di India.  India lebih advanced dari Malaysia dalam hal ini.

Pertama kali juga aku menyambut ulang tahun kelahiranku di luar negara...tanggal 15 Disember 1988, di New Delhi, India...........

No comments:

Post a Comment