Friday, June 7, 2013

Roofy.....mama akan selalu merinduimu

Kalau nak diikutkan, dah lama anak2ku merengek nak memelihara haiwan kesayangan (pet), kucinglah, ikan emaslah, hamsterlah, kura-kuralah, arnablah....namun aku yang agak "berat" membenarkannya.  Namun, kehadiran Bobong dalam keluarga kami yang dijumpai di atas plaster siling bumbung rumah kami pada petang 3 Disember 2011 telah "mencairkan" hatiku untuk membenarkan pet dipelihara di rumahku ini.  Masakan tidak...wajahnya yang sangat comel, ngiauan yang sangat manja menyukarkan aku menolak permintaan Akmal dan Anis (terutamanya) untuk terus memelihara Bobong.  Bobong sebenarnya mempunyai 4 bersaudara, 2 ekor berwarna oren (kedua-duanya jantan), dan 2 ekor berwarna hitam/kelabu (kedua-duanya betina), yang dilahirkan di atas plaster siling rumah; patutlah aku sering terdengar mereka berlari-larian di atas siling dan sesekali terdengar bunyi halus ngiauan anak kucing.  Aku namakan mereka Bobong, Roofy, Bibing dan Roofa.
 
Bobong yang berwarna oren, amat manja dan mudah dimanjai.  Namun saudaranya yang seekor lagi berwarna oren amat takut apabila melihat manusia.  Setiap kali ibu mereka keluar masuk dari rangka bumbung untuk mencari makanan, maka anak2nya akan turut keluar secara terhendap2 untuk menyusui ibu mereka.  Ibu mereka milik jiran kami, tapi memilih untuk beranak di dalam suasana kegelapan di atas plaster siling rumah kami.
 
Hampir beberapa minggu Bobong bersama kami, kami dapat pula "menangkap" Roofy (saudara jantan Bobong yang juga berwarna oren) yang agak liar dan takutkan manusia, untuk masuk ke rumah kami. Masih ku ingat pada hari Roofy diperangkap masuk ke dalam rumah, kesemua anak2ku berserta ayah mereka mengepung Roofy yang ketika itu dalam ketakutan setelah "tergelincir" ketika melompat mengikuti ibunya turun-naik tembok pagar rumah kami.  Pada ketika itu, aku menunggu di dalam rumah, dan sebaik sahaja Roofy lari memasuki rumah kami, dia terus masuk ke bawah kabinet barang perhiasan selama berjam2 lamanya takut untuk keluar.  Seperti yang aku nyatakan tadi, Roofy memang agak takut dengan manusia.  Mujurlah ketika itu, anak2ku Anis dan Akmal masih berada di rumah untuk menangkap dan menguruskan Bobong dan Roofy.  Namun, Anis dan Akmal...tuan punya Bobong dan Roofy melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama masing2 di Pahang, maka akulah yang perlu menguruskan kedua2 Bobong dan Roofy akhirnya.
 
Bobong dan Roofy yang benar2 kelihatan seiras (lihat gambar dalam FB ku) cuma kepanjangan ekor dan suara yang membezakan mereka.  Bobong berekor kontot, manakala Roofy berekor panjang yang agak sedikit kembang.  Keunikan Roofy adalah pada suaranya yang amat halus dan bunyinya agak tersekat2.  Roofy tidak berapa suka dipegang atau dibelai, tidak seperti Bobong.  Namun akhirnya dia agak manja dengan suamiku.  Pantang melihat suamiku duduk di kerusi, dia akan melompat dan duduk sama ada di sisi, atau di atas paha atau di atas perut suamiku. Kadangkalan kedua tangannya diletakkan di atas paha...atau setidak2nya untuk menyentuh mana2 bahagian di tubuh suamiku.  Roofy juga suka menjilat2 janggut suamiku, melambangkan kemanjaan kepada tuannya.  Roofy juga sangat baik...tidak pernah melompat ke atas meja untuk mencuri makanan yang terhidang.  Satu lagi keistimewaannya ialah Roofy walaupun kelihatan sama saiznya dengan Bobong, namun jika didukung, berat badannya tidak seberat badan Bobong, terasa amat ringan sekali, sangat mengujakan jika kita membelai Roofy kerana bulunya lebih lembut dan panjang sedikit dari Bobong.  Oh....Roofy....kami benar2 merasai pemergianmu.
 
Kesukaan Roofy sekiranya kubelikan makanan basah (wet food jenama Whiskas) ialah ikan panggang, manakala Bobong menyukai chicken and tuna.  Aku amat menyenangi Roofy, dia boleh dipercayai.....setiap kali apabila aku bangun awal pagi, maka ada sahaja bangkai cicak yang dibunuhnya.  Baik di dalam mahupun di luar rumah.  Dia tidak memakan cicak, cuma membunuhnya sahaja.  Tatkala kami sering berulang-alik ke Kuantan menziarahi Anis di Kuantan dan tidur semalaman di sana, Roofy amat kupercayai untuk kutinggalkan di dalam rumah...dengan makanan, air minuman dan pasir kucing yang mencukupi, Roofy tidak pernah mengecewakan kami.  Bahkan dia pandai membuang air besar di dalam tandas walaupun tanpa pasir kucing.  Roofy yang cilik juga pandai membuka pintu bilik air dari dalam sekiranya dia terkurung di dalam bilik air.  Betapa kami menghargai dan begitu menyayangi Roofy.  Oh ya....kini keluarga kami memiliki 8 ekor kucing termasuk Bobong, Roofy, Bibing (yang datang "menyerah diri" ke rumah kami dalam keadaan bunting pada awal tahun ini) serta 5 ekor anak2 susuan Bibing - Oren, Jagung, Icai, Cadbury dan Sandy.
 
Namun kegembiraan kami sedikit tergugat, kerana sejak akhir2 ini (1-2 minggu kebelakangan) aku perhatikan Roofy menghadapi masalah sukar membuang air kecil.  Beberapa kali serta banyak kali juga kuperhatikan dia cuba membuang air tetapi tidak berjaya.  Pada 26 Mei 2013, kami membawa Roofy ke klinik swasta untuk rawatan setelah mendapati Roofy tidak dapat membuang air, berkeadaan murung serta muntah cecair berwarna kehijauan.  Makanan dan minuman tidak dijamahnya.  Doktor mengatakan kedaan sedemikian "not good" lalu Roofy ditahan di klinik untuk rawatan.  Doktor menerangkan keadaan Roofy yang dianggapnya kritikal disebabkan saluran kencingnya tersumbat.  Aku hampir menangis ketika itu dan memohon kepada Doktor agar Roofy diselamatkan.    Dari petang itu (Ahad) hampir setiap hari aku menelefon klinik bertanyakan hal Roofy.  Pada petang Rabu 29 Mei 2013, kami dengan bersyukur dan gembiranya membawa Roofy balik ke rumah.  Atas rasa kasihnya kepada Roofy dan agar masalah kesihatan Roofy tidak dialami oleh kucing2 lain di rumah, kami membeli makanan kucing yang bermutu tinggi (kurang garam dan lebih bervitamin) sebanyak 2 beg (18 kg); kesemua kos rawatan, ubat2an dan makanan mencecah RM475.  Kami redha dan berdoa agar Roofy cepat sembuh.
 
Kami bersyukur kerana Roofy kelihatan lebih ceria, lebih manja, berselera untuk makan dan boleh membuang air kecil.  Aku memeluk dan mencium Roofy yang sangat2 aku rindui selama dia berada di klinik.  Pada ketika itu, anakku Anis sedang sibuk membuat persiapan untuk melanjutkan pelajarannya di kolej, dan aku pula terlalu sibuk menyiapkan tesis untuk program masters yang mana tarikh akhir penyerahan tesis ialah pada 31 Mei 2013.  Bobong dan Roofy kembali bergembira dan dimanjai olah kami.
 
Namun, selang 3 hari kemudian aku sekali lagi memerhati Roofy menghadapi kesukaran untuk membuang air kecil.  Aku merancang untuk membawa Roofy dengan segera ke klinik pada Sabtu, 1 Jun 2013, malangnya klinik ditutup besempena cuti umum keputeraan Agong.  Lalu, Roofy dibawa ke klinik pada Ahad, 2 Jun 2013. Pada kali ini Roofy tidak ditahan, sebaliknya Doktor mengepam keluar urin Roofy.  Disebabkan aku mengejar deadline untuk menghantar tesis, Roofy dibawa ke klinik oleh suamiku, Anis dan Amzar.  Bila mereka balik dari klinik, Roofy sememangnya kelihatan lemah, namun boleh berjalan dan duduk mencari tempat selesa di dalam dan luar rumah.  Petang itu juga, suamiku menghantar Anis disertai Amzar untuk pulang ke kolej di Perak.  Aku tinggal di rumah seorang diri untuk menyiapkan tesis tanpa melihat kelibat Roofy lagi.
 
Sepanjang minggu ini, aku memanggil2, menyeru nama Roofy di dalam rumah, di dapur dan di luar rumah, mulai hari Isnin, Selasa, Rabu, Khamis dan Jumaat.  Aku memberitahu Anis, Aiman, dan Akmal (anak2ku yang kesemuanya tinggal di asrama) rakan baikku Lela, serta rakan2 di ofis akan kerisauanku terhadap Roofy.  Anis mengesyorkan agar aku mencari Roofy di dalam biliknya.  Aku buka pintu bilik Anis dan memanggil2 nama Roofy namun tiada kelibatnya di situ.  Bahkan setiap hari pintu bilik Anis dibuka beberapa ketika untuk mengambil barang dan ditutup pintunya kembali supaya tidak dimasuki oleh kucing2 lain di rumah.  Keinduanku terhadap Roofy memuncak, aku berpuasa pada hari Khamis dan Jumaat (6 dan 7 Jun 2013).  Pada pagi 7 Jun 2013 jam 4. 30 pagi tatkala aku bangun untuk bersahur, aku lakukan solat sunat tahajjud, serta solat hajat sekali memohon agar Allah SWT mengembalikan Roofy kepada keluarga kami, kerana sesungguhnya kami amat menyayangi Roofy dan mahu melihatnya kembali ke pangkuan keluarga kami.
 
Pada lebih kurang jam 3.45 petang, semasa di pejabat, aku mendapat panggilan telefon dari Amzar memberitahu bahawa Roofy telah dijumpai di bawah katil di dalam bilik Anis.  Namun, segalanya telah terlambat, suamiku yang memasuki bilik itu terbau sesuatu yang kurang menyenangkan.  Dia mencari-cari arah bau tersebut, lalu menjumpai Roofy kami yang sudah tidak bernyawa. 
 
"Ya Allah, Kau benar2 memakbulkan doaku, menunaikan hajatku ingin melihat Roofy dikembalikan kepada keluarga kami". Aku menangis semasa di pejabat lagi, dan meminta agar Roofy tidak dikebumikan tanpa aku melihatnya terlebih dahulu.  Sepanjang perjalanan balik ke rumah, aku terus memohon kekuatan dariNya, "Ya Allah, Kau berilah aku kekuatan untuk melihat jasad Roofy buat kali terakhir, terima kasih ya Allah kerana setidak2nya aku dapat melihat Roofy ku, dan tahu di mana dia yang selama ini menghilang tanpa dapat dikesan". 
 
Setibanya aku di rumah, aku lihat Amzar yang sedang menungguku dengan wajah yang amat sedih, Amzar melahirkan kekesalan kerana hasratnya untuk memeluk dan mencium Roofy untuk kali terakhir sekiranya ditemui dalam keadaan bernyawa, tidak kesampaian.  Aku melihat sekujur tubuh Roofy yang masih lembik, berkeadaan baik, cuma kedua2 matanya terbuka dan kelihatan agak berkabus, terdapat sedikit darah yang keluar dari mulut dan duburnya.  Selain dari itu, tubuhnya dari kepala ke ekor, masih berkeadaan lembut dan baik. Seolah2 sedang tidur, dan perutnya juga tidak membengkak.  Cuma terdapat sedikit air yang keluar dari sebelah mata dan mulutnya yang menunjukkan jasad Roofy mula mengeluarkan cecair.  "Ya Allah, aku bersyukur kepadaMu kerana Kau mempertemukan aku dengan Roofy walaupun dia sudah tidak bernyawa, namun keadaannya masih baik, lembut dan tidak meloyakan".  Syukran ya Allah.
 
Roofy dikebumikan tatkala azan Asar sedang berkumandang dan aku pastikan tubuhnya yang dibaluti kain perca dari pakaian lama itu berkeadaan menghadap kiblat.
 
Kenangan bersama Roofy tidak akan ku lupakan.  Maafkan mama Roofy kerana tidak dapat menghantar Roofy ke klinik pada kali terakhir Roofy dibawa ke sana.  Mama kesal kerana tidak mencari Roofy di bawah katil kakak, mungkin ketika itu Roofy terlalu lemah,..... atau naluri seekor kucing yang "melarikan diri" tidak mahu tuannya melihat dia mati (pendapat sesetengah orang) ....... wallahualam. 
 
Mama ikhlaskan segala penjagaan mama ke atas Roofy, mama sayangkan Roofy dan mama akan selalu merindui rengekan suara, kelembutan bulu, sifat2 manja dan perangai baikmu, dan segala2nya tentang dirimu, oh Roofy.  R.I.P.  Roofy (9/10/11 - 7/6/2013).