Sunday, November 14, 2010

Manusia mati meninggalkan nama, dan kenangan kita bersama mereka

Al-fatihah buat keluarga Shamrin Fotograf di atas pemergian mengejut Arwah ketika bermain bolasepak di Kampung Baru, KL pada petang Khamis 11 Oktober 2010.  Aku antara ribuan atau jutaan peminat vokal Arwah, amat "powerful", mantap dan macho suaranya, apatah lagi alunan lagu Di Alam Fana Cinta. Biasanya bila tengah driving kalau radio putarkan lagu ni memang aku naikkan volume radio.  Dalam ruangan Belasungkawa di beberapa buah akhbar hari ini mengenai Shamrin, ramailah kawan2 artis memuji peribadi arwah yang dikatakan amat prihatin dan menghormati rakan taulan.  Semoga isteri dan anak-anaknya tabah dengan kehilangan orang tersayang. 

Teringat akanku 2 orang artis Melayu Malaysia yang telah pergi terlebih dulu meninggalkan kita, juga mempunyai perilaku kesopanan dan bertatasusila baik, menghormati peminat, berbudi pekerti dan amat disenangi orangramai, apatah lagi mereka yang berurusan dengannya.  Artis yang dimaksudkan ialah Arwah Sudirman Hj. Arshad, dan Arwah Hani Mohsin.

Arwah Sudirman, the singing lawyer memenangi pertandingan Bintang RTM semasa masih menuntut di Universiti Malaya, namun kejayaan dan pencapaiannya itu tidak melunturkan semangat belajar dan telah berjaya menamatkan pengajian beliau.  Seingat aku, aku kerapkali terserempak dengan entourage arwah di beberapa lokasi di sekitar KL.  Ketika aku menunggu keputusan SPM, aku bekerja sementara di Jaya Supermarket, ketika itu Jaya Supermarket memang tempat yang happening, sering menjadi tempat selebriti hatta ahli politik negara pergi membeli-belah.  Masa tu.....nak tahu tahun berapa...?  Tahun 1980.  Arwah Sudirman serta entourage sering ke sana...bersama isterinya Kay, serta ahli-ahli keluarga beliau yang lain.  Arwah akan tersenyum kepada orangramai yang memandang beliau dan adakalanya menghulurkan salam atau mengangkat tangan tanda hormat terutama kepada orang-orang yang lebih tua.  Aku percaya keikhlasan arwah menyapa orang-ramai atau peminat-peminatnya bukanlah suatu lakonan tetapi lahir dari kemurnian dan keluhuran hatinya.  Justeru kehilangannya sememangnya suatu kehilangan kepada kita semua dan begitu dirasai.

Arwah Hani Mohsin pula, aku sempat bekerjasama dengan beliau seketika cuma, tapi sampai sekarang aku takkan melupai kata-kata arwah, "Do keep in touch, after all we are friends".  Masa tu organisasiku menganjurkan Majlis Makan Malam yang dihadiri oleh the top who's who....aku duduk sama-sama berbincang skrip MC kerana arwah diambil untuk mengacara majlis makan malam tersebut.  Memang arwah amat detail, profesional, dan yang menakjubkanku arwah begitu merendah diri dan amat senang bekerja bersama-sama beliau.  Sejak itu, setiap tahun aku merasa amat terharu kerana saban tahun aku menerima kad ucapan selamat hari raya dari arwah....sehinggalah arwah meninggal dunia pada Julai tahun 2006.

Semasa hidup mereka menghiburkan serta menyenangkan hati orang lain, semoga insan-insan yang berhati mulia ini diampuni dosa-dosa dan dicucuri rahmatNya.  Kata orang tua-tua, insan yang baik-baik akan dijemputNya awal, walau apapun marilah kita memanfaatkan hidup kita yang seketika cuma ini dengan berbuat baik sesama manusia, semoga setelah pemergian kita nanti adalah orang yang akan mendoakan kita.  Bukan sekadar nama yang akan kita tinggalkan namun segala perbuatan baik kita sesama insan akan menjadi kenangan kepada mereka yang kita tinggalkan.

No comments:

Post a Comment