Sunday, July 31, 2011

Tinjuan ke Kedai 1 Malaysia di stesen LRT Kelana Jaya

Hebat betul promosi Kedai 1 Malaysia.  Pagi tadi melalui program Selamat Pagi Malaysia pun ada slot khas "interview"tetamu khas mempromosikan Kedai 1 Malaysia ni.  Dengan kos sara hidup yang menggila meningkat sekarang ni, sudah tentulah orang ramai akan berpusu-pusu menyerbu tempat-tempat yang menjual barangan berharga murah sebegini.  Aku pun saja-saja mengajak suamiku untuk meninjau ke Kedai 1 Malaysia di stesen LRT Kelana Jaya petang tadi.  Jalan nak masuk ke stesen LRT pun sesak, yang kami percaya gara-gara orangramai nak menyerbu membeli-belah di Kedai 1 Malaysia tersebut.  Dari tingkat 2 stesen LRT tersebut, kami dah boleh nampak kesesakan trafik manusia di dalam kedai tersebut.  Kami masuk dan memang sesak dengan orangramai, barang-barang berjenama 1 Malaysia tersusun di rak-rak dan kebanyakannya dah hampir habis.  Pekerja stor terpaksa mencelah di kalangan orangramai yang terlalu sesak di dalam stor tersebut.  Bayangkan...kedai (stor) sebesar 7-11, orangramai bersesak-sesak di dalamnya....barisan ("queue") nak membayar berlengkar macam ular kena palu....tak silapnya hanya 2 kaunter juruwang yang beroperasi ketika itu.

Secara peribadi memang aku setuju dan menyokong usaha Kerajaan membuka lebih banyak stor Kedai 1 Malaysia ini.  Tapi promosi sebegini hebat dan berskala besar rasanya tak sesuai dengan hanya 1 stor sebesar 7-11....rasanya ramai juga yang datang dan merasa hampa kerana tidak dapat "mencelah" pelanggan yang bersesak-sesak sebegitu.  Mungkin kalau saiz stornya besar dan banyak lokasi dibuka serentak, tentulah promosinya (sebagaimana yang dilakukan sekarang) sejajar dengan kemeriahan orang-ramai yang agak "desperate" mencari kedai barangan murah sedemikian.

Kami pulang tanpa membeli barangan....mungkin di lain kali, insyaAllah. 

Tuesday, July 19, 2011

Teh tarik KURANG MANIS .... une! Teh halia KURANG MANIS...rende!

Setakat satu, dua, tiga, sampai sepuluh dalam bahasa Tamil....aku tahulah menyebutnya.  Mana kan tidak...hampir setiap hari masuk ke kedai mamak.  Sampaikan mamak tu naik kenal muka kami...sebaik melangkah masuk aje...."Kakak...ayam goreng macam pagi punya......panas2"....ini kerana di kedai mamak ini turut dihidangkan menu ayam goreng untuk sarapan.  Memang sedap ayam goreng panas yang dimakan begitu saja, atau dengan nasi lemak.  Rempah rahsia apa agaknya yang digunakan mamak ni....?

Nak cerita fasal air....selain teh tarik....mamak tu juga seakan2 tahu yang aku suka meng"order" teh halia.  Sedap teh halia yang disajikannya.  Teh halia ni versi teh tarik yang dicampur serbuk atau air halia.  Tiba2 teringin pula aku nak tahu asal usul mana datangnya istilah teh tarik ni?  Teh tarik asalnya dari air teh susu yang panas, kemudian untuk menyejukkannya, mamak terpaksa "menarik" air teh itu beberapa kali demi untuk segera menyejukkannya.  Begitulah maklumat yang aku baca dari internet.  Tulisnya lagi, di pelabuhan Pulau Pinang suatu ketika dahulu, para pekerja pelabuhan hanya diberikan waktu rehat selama 10-15 minit sahaja, jadi ketika dikunjungi ramai pelanggan ketika itu yang perlu minum dalam waktu singkat tersebut, mamak penjual teh pun menggunakan teknik menarik teh panas itu untuk cepat menyejukkannya.

Sekarang ni, walau air minuman apa yang ku order, aku tak lupa nak menyebut "kurang manis".  Teh tarik kurang manis, teh halia kurang manis, teh limau ais kurang manis, Nescafe tarik kurang manis.  Almaklumlah...bila bacaan kandungan gula dah melebihi sempadan...kenalah beringat.

Nak tahu tak....sebenarnya kalau sekadar minum teh O, kalau betul2 nak menikmati aroma teh tersebut, kita tak perlu campurkan gula langsung dalam air teh tersebut.  Betul....hal ini diajarkan oleh staf aku, Ms. Wong...katanya Chinese kalau minum teh, tak pernah bubuh gula.  Kalau tak percaya, boleh cuba...sekali, dua kali, lepas tu kita terus boleh minum teh O tanpa gula.

Lagi satu, sebenarnya kalau bancuh Milo, kemudian dicampurkan dengan Coffee Mate, jangan dan tak perlu langsung bubuh gula atau pemanis tiruan.  Memang dah cukup kemanisannya.

Staf2 aku di ofis suka benar kalau aku buat Neslo.  Walaupun ada tea lady, tapi aku suka ke pantry dan bancuh minumanku sendiri.  Entahlah...aku rasa aku buat macam biasa aje....taruk 2 setengah sudu besar Milo ke dalam mug, pastu masukkan 2 sudu besar Coffee Mate, kemudian masukkan tiga perempat sudu teh serbuk Nescafe, dan akhir sekali masukkan air panas.  Kacau.... dan aromanya cukup memukau.  Rasanya...slurrp...slurpp.....minum sikit2 sebab minuman Neslo ni sedap diminum ketika panas/suam.  Sekali lagi...tak perlu langsung masukkan gula.  Cuma aku musykil, kalau kandungannya lebih banyak Milo dari Nescafe, kenapa ianya dipanggil Neslo, bukannya MiNes atau MilFe, hmmmmm...agaknya mungkin kerana susah nak menyebutnya.

Walau apa pun kita nak minum.....jangan lupa "Kurangkan gula dalam minuman, lebihkan manisan dalam senyuman". 

Esok...kalau ke kedai mamak, jangan lupa minta Teh Tarik ke, Nescafe ke, Teh Halia ke, Horlicks ke...KURANG MANIS!

Saturday, July 16, 2011

Perihal sarang semut, roadblocks, hama tilam, dan durian

Dalam tempoh 10 hari (4 Julai - 13 Julai 2011) aku ingin berkongsi "highlights" perjalanan yang kulalui :

4 Julai 2011 (Isnin)

Kami sekeluarga ke Ledang, Johor untuk pendaftaran masuk Aiman ke ILP Ledang. Perjalanan hampir 2 jam setengah itu melalui NKVE ke selatan, keluar melalui tol Tangkak, agak lancar pada pagi tersebut.  ILP Ledang....insyaAllah di situlah Aiman akan menghabiskan masa satu setengah tahun mengikuti kursus Sijil Mekatronik (SKM Tahap 2 dan 3) sebelum meneruskan pula internship di industri berkaitan selama 6 bulan lagi bagi melengkapi tempoh 24 bulan kursus tersebut.  Go for it, Aiman.  We love you, son.... and we know YOU can DO IT!

7 Julai 2011 (Khamis)

Kami sekeluarga bertolak ke Kuantan selepas habis waktu pejabat sebab esok pagi ada acara pemuafakatan akademik ibu-bapa dan guru di sekolah Anis.  Perjalanan waktu malam amat menyenangkan.....ketika kami keluar melalui plaza tol Kuantan, kami singgah sebentar membeli air minuman (botol) di 7-11.  Waktu itu dah hampir jam 11.45 malam.  7-11 agak sibuk dengan remaja keluar-masuk membeli barangan.  Aku membeli 3 botol minuman dan mengambil 2 batang straw dari bekas straw sebelum beredar ke kereta.  Sebaik sahaja masuk ke kereta, aku membilas sebentar straw dengan menuangkan sedikit air melalui lubang straw, lalu memasukkan straw ke dalam botol dan menyedut sedikit air Revive yang kubeli.  Badan terlalu letih dan mata mengantuk, kami meneruskan perjalanan ke hotel yang telah ditempah di bandar Kuantan dan kami checked-in tepat jam 12 tengah malam.  Walau bagaimanapun, sepanjang perjalanan ke bandar Kuantan, aku merasa ada beberapa ekor semut merayap di lengan ku. 

Sebaik masuk ke bilik hotel, aku nak menyambung meminum air Revive tersebut,....namun dalam keadaan bilik hotel yang terang benderang, aku dapati terdapat banyak semut di dalam botol tersebut!  Ku amati lagi, rupa2nya straw yang aku gunakan...terdapat sarang semut di dalamnya!  MasyaAllah...gelinyaaaa....!  Anakku Akmal diarah memeriksa sebatang lagi straw yang masih belum digunakan, dan benar....terdapat sarang semut dan berpuluh2 ekor semut dalam straw tersebut.  MasyaAllah.....kudoakan agar aku yang dah tersedut dan terminum air melalui straw yang bersemut dan bersarang semut tu, dilindungi Allah SWT dari sebarang kemudaratan.

8 Julai 2011 (Jumaat)

Kami ke sekolah Anis, lalu kemudiannya membawa Anis keluar ke bandar Kuantan.  Sebelah petangnya, kami bertolak balik ke KD jam 6 petang.  Kesabaran kami tercabar dek gara2 demonstrasi jalanan di KL, polis membuat 2 roadblocks sepanjang LPT dan satu lagi berhampiran tol Gombak.  Kenderaan hampir tak bergerak langsung!  2 buah ambulan yang terpaksa meredah kesesakan tersebut, terpaksa berpatah balik kerana gagal untuk memboloskan ambulan dalam kesesakan itu.  Perjalanan yang selalunya mengambil masa 3 jam, telah mengambil masa 7 jam setengah!  Kami tiba di KD tepat jam 1.30 pagi, pada 9 Julai 2011.

10 Julai 2011 (Ahad)

Kami sekeluarga sekali lagi ke Ledang, menghantar Aiman pulang ke ILP.  Bertolak hampir jam 6 petang ke Ledang, dan berpatah balik sampai balik ke rumah di KD menghampiri jam 11.30 malam.

11 Julai 2011 (Isnin)

Atas dasar kerja, aku bertolak ke Ipoh kerana menganjurkan seminar keesokan harinya.  Checked-in di sebuah hotel di Fair Park, Ipoh.  Hmmm....hotel agak baru.....namun aku mengalami satu kejadian yang tidak akan kulupakan.  Di sebelah malam ketika aku keletihan dan ingin melelapkan mata, aku terpaksa "berperang" dengan rasa kegatalan dan rasa seolah-olah ada serangga merayap di atas badan.  Puas kugaru, garu dan tergaru2 sana-sini hingga ke pagi.  Aku mendapati badanku terutama di bahagian kedua2 lenganku dipenuhi bintik2 tanda gigitan serangga.  Aku periksa tilam....eh...tilam baru...tak ada pulak serangga.  Nyamuk?  Pun tak ada.  Aku confirm....aku terkena gigitan hama tilam.  Aku complained pada receptionist pada pagi tersebut.  Entahlah, dah serata dunia aku pergi, dah merata hotel pelbagai bintang aku dah tidur, inilah pertama kali aku kena hama tilam di hotel penginapan.  Nasib...!!!

12 Julai 2011 (Selasa)

Kami (aku dan Khalidah) meneruskan tugasan kami lagi...kali ini ke Taiping, dengan Mr. Tan, .....Senior Consultant MEF yang cukup pemurah dan baik hati.  Dalam perjalanan kami ke Taiping, kami berhenti di R & R Bukit Gantang dan telah dijamu durian kampung oleh Mr. Tan.  Memang sedap isi durian kampung Perak ni...lebih sedap dari durian D24...kata Mr. Tan.

Kami checked-in di sebuah hotel baru di Taiping....hotel SSL Traders.  OK juga hotel tu...di sebelah lewat petangnya, aku dan Khalidah dikunjungi Yus (my ex-staff dan kini jadi businesswoman di Selama) dan ibunya.  Kami dibawa keluar makan malam di bandar Taiping dan sekali lagi, kami dijamu durian kampung.  Sedapnya......lagipun kami "meratah" durian tu di Taman Tasik Taiping.  Kat mana lagi...sebab kat hotel tak boleh makan durian!

13 Julai 2011 (Rabu)

Setelah habis bertugas, sekali lagi dalam perjalanan pulang ke Ipoh....Mr. Tan berhenti lagi di R & R Bukit Gantang dan menjamu kami dengan durian.  Sedap gila.  Memanglah dalam sejarah hidupku tak pernah aku makan durian sebegitu banyak dalam masa 24 jam....heheheh.  Walau apapun...rezeki jangan ditolak.....

14 Julai 2011 (Khamis)

Sebelum ke ofis, aku makan breakfast ...serawa durian (yang dibuat oleh suamiku semasa aku outstation...) dengan roti.  Sedapnya, pandai suamiku masak serawa durian.

Hmmmmm....macam2 berlaku dalam masa 10 hari ni.  Sebelum Ramadhan ni, aku rancang nak ke outstation sekali lagi atas urusan kerja....itu tak termasuk urusan keluarga pulak....nak "melayan" anak2 kami yang duduk jauh .......seorang di Kuantan dan seorang lagi di Ledang.