Monday, February 14, 2011

Penting ke skrin TV dalam kereta?

Ramai orang yang dah pasang.....pasang apa?  Pasang skrin TV dalam kereta.  Bukan hanya kereta MPV,SUV, kereta sedan pun ada TV.  Ada yang pasang kat belakang head rest untuk tontonan penumpang kat kerusi belakang, yang peliknya ada juga yang pasang kat dashboard.  Pemandu pun nak menjeling2 kat TV semasa memandu ke?

Walau apapun, secara peribadi memang aku menentang idea ni....idea apa?  Pasang skrin TV dalam kereta.  Walaupun beberapa kali anak2 memberi cadangan dan minta kami memasangnya.  Sebab2 yang aku ada :

1) Aku selalu berpendapat saat2 mengembara sekeluarga dalam kereta merupakan saat indah dan penting untuk ahli2 keluarga berinteraksi sesama mereka.  Anak2 kecil selalu bertanya itu dan ini ketika berada dalam kereta, justeru inilah masa terbaik melayan mereka berkomunikasi.

2) Bagi anak2 yang lebih besar, mereka kadangkala kurang berkomunikasi dengan kita ketika berada di rumah, justeru dalam kereta inilah peluang terbaik untuk kita berbual2 bagi mengisi masa perjalanan ke sesuatu destinasi.  Aku pernah mendengar pandangan dan ceramah pakar motivasi terkenal, bahawa jika ibu-bapa menghadapi masalah berkomunikasi dengan anak2 remaja, berbuallah atau sampaikanlah nasihat ketika berada di dalam kereta.  Katanya lagi, kebiasaannya kalau anak2 remaja kalau ditegur di rumah, mereka akan "mengangkat kaki" lari ke bilik misalannya dan enggan mendengar apa yang nak kita cakapkan.  Oleh itu carilah peluang itu ketika bersama anak2 di dalam kereta.

Bayangkanlah kalau di rumah anak2 menghabiskan masa menonton DVD atau siaran TV, dalam kereta juga kita sedia dan sajikan DVD juga buat mereka, di manakah masa kualiti kita bersama keluarga? 

Lagi satu...aku teringat penagalamanku sendiri, sewaktu kecil kalau menaiki kereta aku suka melihat pemandangan di sepanjang perjalanan.  Banyak perkara yang aku pelajari, berfikir dan bertanya...sehingga kini aku rasakan berbaloi kerana pengalaman itu menjadikan diriku seorang yang observant.

Kalau ada orang berkata....alah..mana pulak anak2 nak berbual, masing2 ada handphone walkman , mp3, video game dan sebagainya.....Tak mengapa....anak2 aku pun ada...tapi gunakanlah peluang dan kesempatan ini sebaik mungkin, insyaAllah..percayalah..inilah salah satu peluang terbaik kita ada untuk bermesra bersama mereka.  Kenangan manisku mengembara bersama anak2 ialah banyak perkara yang boleh kita bualkan bersama.  Baru2 ni kami terperangkap dalam kesesakan jalanraya dalam perjalanan berkereta yang cukup lama...lebih 16 jam setengah (bertolak dari KB jam 10 pagi, sampai di rumah jam 2.30 pagi), antaranya kami berkongsi cerita lama,  bertanya soalan kuiz pengetahuan am, teka-teki, bernyanyi serta bergurau-senda sesama ahli keluarga.  

Minggu lepas (kalau tak silap) ada ura2 pihak berkuasa nak mengharamkan pemasangan skrin TV dalam kereta atas faktor keselamatan jalanraya.  Aku bersetuju dengan pengharaman tu.  Kalau nak tengok DVD, tontonlah semasa berada di rumah.  Kalau nak dengar perkembangan terkini, radio kan ada? 
Nah...tepuk dada tanya selera.    

Friday, February 4, 2011

Kong Hee Fatt Choy

Semalam Tahun Baru Cina...tahun arnab.  Cukup istimewa sebab aku juga dilahirkan pada tahun arnab, dan buat pertama kalinya di pasar malam di tempat tinggalku pada hari Selasa lepas, ada peniaga menjual arnab (hidup) dalam sangkar...seekor RM25.  Memang comel haiwan arnab ni.

Aku nak mengembalikan nostalgiaku mengenai Raya Cina,... kata orang sekarang.  Masa aku kecil dulu ia lebih dikenali dengan nama Kong Hee Fatt Choy.  Tak lama kemudian (tahun 80an), muncul pula banner ucapan menggunakan perkataan Gong Xi Fa Cai.  Tahun 90an disebabkan Raya Puasa clash dengan Raya Cina, muncul istilah Kongsi Raya. 

Apapun, bila Raya Cina aku sangat suka "berpesta" makan limau, tak silapnya disebut Long Kam.  Kam tu bermaksud Emas.  Kadang-kadang kalau aku beli satu karton limau tu di pasaraya, sekali makan aku boleh habiskan 5-6 biji sekali mengadap!  Dulu, kawan-kawan Cina aku Leong dan Nancy selalu menegurku kerana aku makan banyak betul limau mandarin semasa aku mengandung.  Fikirku kalau limau aje, tentu banyak vitamin C.  Kata mereka, jangan makan banyak sangat, nanti sakit kerongkong. 

Masa aku dalam Darjah 4, aku berserta 4-5 orang rakan sekelas, beriya-iya beraya Cina ke rumah guru kelas kesayangan kami, Puan Lim Pin Teck yang ketika itu tinggal di Taman Forlong (kini dikenali sebagai Taman P. Ramlee) di Setapak.  Turun bas naik bas, jalan kaki lagi...kami cuma pergi ke rumah cikgu tu aje.  Dapatlah angpau 40 sen.  Cukup besar jumlah tu pada ketika itu (tahun 1973). 

Kemudian tahun 1977, kami juga turun bas naik bas beraya Cina di rumah classmate kami Yeo Bee Wah di Jalan Raja Laut.  Rumah kedai milik keluarganya, yang kini menjadi klinik gigi milik rakan kelas kami tu (Dr. Yeo).  Masa tu dapat angpau, kalau tak silap RM2 (banyak tu....sebab dia anak towkay kedai....hehehe). 

Juadah wajib Kong Hee Fatt Choy yang aku ingat ialah kuaci...pelbagai jenis dan warna.  Favourite sekali ialah kuaci hitam.  Kuaci belang kulitnya agak keras.  Kuaci merah kulitnya licin apabila terkena air liur ketika kita gigit kuaci itu untuk "memecah"kannya.  Lepas tu ada limau mandarin dan kacang.  Itu aje yang kami makan kalau beraya Cina.  Kini kalau nak makan kuaci pun, aku akan beli kuaci putih (pakai timbang) di pasaraya Giant atau Mydin.

Kalau Raya Cina ni beberapa perkara yang aku suka ialah :
i) Tarian Singa - amat mendebarkan bila melihat formasi "singa" melompat atas tiang-tiang yang tinggi
ii) Yee Sang - makanan eksotik yang cukup istimewa.
iii) Hiasan tema perayaan di komplek membeli-belah

Yang aku tak suka ialah :
Bunyi mercun yang cukup memekakkan!  Tapi sekarang ni Raya Puasa dan Deepavali pun ada orang main mercun juga.......

Kepada rakan-rakanku berbangsa Cina...Kongsi Kongsi.....Kong Hee Fatt Choy, dalam semangat 1 Malaysia!

Thursday, February 3, 2011

Memoriku...........Canary Islands dan London

Satu-satunya destinasi yang aku tidak tahu di mana kedudukannya sebelum aku bertolak meninggalkan tanahair ialah Canary Islands.  Aku cuma mengetahui lokasi kedudukannya semasa dalam penerbangan.  Sekali lagi aku ditugaskan, kali ini untuk menghadiri satu kongres antarabangsa mengenai perdagangan antarabangsa tumbuhan yang diancam kepupusan.

Yang ku tahu Canary Islands terletak di Sepanyol, wah....bila ku lihat dalam peta dunia, kedudukannya lebih berhampiran Morocco di utara benua Afrika.  Perjalananku kali ini melewati sektor:

Kuala Lumpur - Zurich - Madrid - Tenerife (Canary Islands)

Beriklim Mediterranean, kepulauan ini cukup indah dan salah satu produk eksport nya ialah pokok kaktus.  Pelbagai spesies, bentuk, warna dan ketinggian kaktus dapat dilihat di sini.  Tak banyak juga yang dapat kukembalikan nostalgia ku di kepulauan ini, cuma yang aku ingat terdapat banyak kereta Suzuki Swift di jalanraya.  Jalanrayanya agak sempit, maklumlah kepulauan.... Pasir pantainya berwarna hitam, kasihan pulak aku melihat beberapa kelompok pelancong yang terdampar bersantai di pasir hitam tersebut.  Pelik keadaannya sebab kita selalu membayangkan hamparan pasir pantai berwarna putih yang begitu indah.  Aku terserempak dengan beberapa peniaga berasal dari Sri Lanka dan India yang merupakan salah satu komuniti peniaga yang agak ramai di sana.

Sekali lagi aku bersyukur kerana jika tidak kerana bertugas, mungkin aku tidak berpeluang menjejakkan kaki di sebuah kepulauan yang menarik dan terkenal ini.  Di balai berlepas, salah seorang peserta kongres yang kuhadiri dari Amerika Syarikat dalam perbualan santai denganku amat memuji Malaysia yang katanya cukup bertuah memiliki kepimpinan Dr. Mahathir yang berpandangan jauh, selain rakyatnya, khususnya anak-anak muda yang masih mengekalkan budaya menghormati ibu-bapa.  

Perjalanan balik, aku mengikuti sektor Tenerife - London - Kuala Lumpur.  Kali ini aku bersedia untuk membuat kejutan kepada sepupuku, Majid yang telah lama menetap di London.  Nasib menyebelahiku kerana sebaik menelefonnya, Majid memandu arahkan aku untuk ke rumahnya dengan menaiki train.  Tanpa kusangka pada hari tersebut yang merupakan Gay Pride Day, perjalananku menaiki train membuka mataku betapa berapa ramainya pasangan gay yang sesungguhnya berpesta dan merayakan hari pengiktirafan ke atas mereka.  Ramai pasangan yang berpakaian sedondon menaiki train pada malam tersebut.  Setibanya aku di stesen, tetiba aku teringat movie "The American Werewolf in London" cepat-cepat aku memanjangkan langkah bertemu Majid yang menunggu kedatanganku di stesen.    

Buat pengetahuan semua, naluri keibuanku telah sekali lagi menyebabkan aku membuat keputusan memendekkan lawatan singkatku di London.  Aku menukar flight yang paling awal keesokan harinya kerana terlalu merindui anak-anakku ketika itu, Aiman dan Anis.

Apapun lawatan singkatku beberapa jam di London pada malam tersebut, aku telah dibawa melintasi Trafalgar Square, Downing Street, Big Ben, mercutanda kotaraya London lainnya, selain menziarahi rumah Majid yang cukup menarik, kemas dan tersusun rapi.  

Jauh berjalan luas pandangan, begitulah aku........

Memoriku..........Ecuador, suatu perjalanan yang cukup jauh

Rakanku Raiha memulakan perjalanannya yang sangat jauh 2 hari yang lalu untuk bertemu dengan suami tercinta yang bertugas di salah sebuah negara di benua Afrika.  All in katanya penerbangannya mengambil masa lebih kurang 22 jam untuk sampai ke destinasi. Mudah-mudahan ketika ini, beliau sudahpun tiba di Cameroon.

Aku terkenang perjalanan yang pernah kutempuhi, to be exact aku tak berapa ingat berapa jam all in, cuma kalau tak silapnya 36 jam.  Destinasiku Quito, Ecuador. Seingatku aku baru sahaja kembali bertugas setelah menghabiskan cuti bersalin selama 2 bulan, masa itu baby ku Anis baru sahaja berusia 4 bulan, tetiba dalam mesyuarat jabatan namaku naik untuk menghadiri satu persidangan sedunia papan lapis selama 4 hari di benua Amerika Latin tersebut.  Nak mengelak pun tak ada alasan kukuh.  Maka akupun buatlah persiapan yang sewajarnya untuk ke sana, within a short notice.

Masa tu awal bulan Mei 1995, aku berlepas dari Lapanganterbang Antarabangsa Subang, pada hari Jumaat, pukul 10 malam.  Perjalananku seperti berikut :

Kuala Lumpur - Frankfurt - Miami - Caracas - Bogota - Quito

Bayangkan aku travel berseorangan, sepanjang perjalananku aku tidak disapa oleh sesiapa, bahkan bila aku tersenyum pada orang, senyumanku tidak berbalas!  Aku cuma mengharapkan ada lah insan yang nak berbual denganku ketika itu.  Yang paling aku tidak tahan sekali ialah ketika transit di Bogota, aku dah jadi begitu tertekan sekali, naluri keibuanku tercabar.  Manakan tidak, ada pasangan yang travel membawa baby, dan tangisan baby tu saling tak tumpah seperti tangisan baby yang kutinggalkan di tanahair.  Sudahlah aku berasa amat asing sekali di bumi yang benar2 asing, aku duduk di balai berlepas sambil menangis tersedu-sedan merindui baby yang ku terpaksa tinggalkan di rumah.  Tangisan perlahanku ketika itu seiring tangisan baby tersebut! Sikap tidak ambil peduli rakyat asing jelas terbukti kerana tiada siapa yang ambil peduli sama ada kita menangis, atau berbuat apa sahaja di sisi mereka.  Oh ya, di lapanganterbang Bogota, kami bertukar pesawat yang mana aku terpaksa melalui pemeriksaan imigresen.  Aku terkejut disergah setelah body search dilakukan ke atasku, kerana aku memakai pouch berisi dokumen dan duit yang kuikat kemas dipinggang di bahagian dalam kemeja.  Mungkin disangkanya aku menyorokkan pistol....

Ingat lagi kan, aku bertolak hari Jumaat pukul 10 malam dari Kuala Lumpur?  Aku tiba di hotel penginapan di Quito pada hari Ahad, lebih kurang pukul 12 tengahari.  Seingatku, sebaik sahaja checked-in di hotel, aku terus mencapai telefon dan menelefon keluarga di Shah Alam. 

Bandaraya Quito, well....not bad after all.  Bahasa pertuturan yang digunakan ialah Spanish.  Orang-orangnya berkulit coklat, feature lebih kurang macam kaum red indian yang biasa kita lihat di televisyen.  Di sebabkan altitud atau ketinggian bandaraya Quito agak tinggi dari aras laut, kita yang tidak biasa akan keadaan itu akan mengalami sedikit rasa sukar untuk bernafas pada mulanya.  Suhu agak dingin. 

Tak banyak yang aku ingat fasal Quito, cuma aku cukup tertarik dengan sejenis flute tradisional yang biasa dimainkan oleh kaum pribumi di sana.  Bunyi flute yang diperbuat dari rotan/buluh cukup merdu.  Kaum pribumi lelaki yang lebih berusia masih mengekalkan tradisi bertocang, memakai topi dan rantai, bersandal dan memakai ponco.   

Di Quito, buat pertama kalinya aku melihat haiwan yang dipanggil Lhama, yang bulunya dijadikan pakaian musim sejuk.  Aku membeli cenderahati sekeping lukisan pemandangan yang dilukis di atas bulu Lhama, lukisan itu ku frame kan dan sehingga kini tergantung megah di ruang tamu rumah.  Fikirku lukisan tersebut tak pernah kulihat di mana-mana rumah lain di Malaysia....Semasa aku menghantar lukisan itu di kedai bingkai, ada beberapa pelanggan lain yang memuji lukisan tersebut atas keunikannya kerana dilukiskan di atas bulu Lhama dan ada yang menawarkan untuk membelinya.

Mujur juga semasa aku di sekolah menengah, aku belajar mengenai pelbagai negara dalam subjek Geografi.  Sekurang-kurangnya aku pernah menjejakkan kaki di negara Amerika Latin, yang kalau bukan kerana tugas mungkin aku takkan sampai di sini.    Bak kata abangku, Quito ini seumpama sebiji bola yang jika kita mencucuk sebatang besi merentasi bola itu, begitulah kedudukan Kuala Lumpur dan Quito.  Walau apapun, di Quito, aku telahpun berdiri di garisan 0 darjah iaitu garisan Khatulistiwa yang merentasi bumi. 

Begitulah, perjalanan paling jauh yang pernah aku tempuhi setakat ini.  Walau apapun, hakikat kehidupan sebenarnya perjalanan kita yang paling jauh ialah perjalanan hidup ini....yang kita sendiri tidak tahu bilakah akan sampai ke penghujungnya.

Untuk penerbangan balik, aku melalui sektor Quito - Miami - London - Kuala Lumpur.  Gara-gara flight delay dari Quito, aku bermalam satu hari di London tanpa dapat ke mana-mana kerana I was unprepared.  London...........?  destinasi impian kebanyakan orang.  Tak mengapa, alhamdulillah aku berpeluang ke sana sekali lagi tidak berapa lama kemudiannya.