Friday, February 4, 2011

Kong Hee Fatt Choy

Semalam Tahun Baru Cina...tahun arnab.  Cukup istimewa sebab aku juga dilahirkan pada tahun arnab, dan buat pertama kalinya di pasar malam di tempat tinggalku pada hari Selasa lepas, ada peniaga menjual arnab (hidup) dalam sangkar...seekor RM25.  Memang comel haiwan arnab ni.

Aku nak mengembalikan nostalgiaku mengenai Raya Cina,... kata orang sekarang.  Masa aku kecil dulu ia lebih dikenali dengan nama Kong Hee Fatt Choy.  Tak lama kemudian (tahun 80an), muncul pula banner ucapan menggunakan perkataan Gong Xi Fa Cai.  Tahun 90an disebabkan Raya Puasa clash dengan Raya Cina, muncul istilah Kongsi Raya. 

Apapun, bila Raya Cina aku sangat suka "berpesta" makan limau, tak silapnya disebut Long Kam.  Kam tu bermaksud Emas.  Kadang-kadang kalau aku beli satu karton limau tu di pasaraya, sekali makan aku boleh habiskan 5-6 biji sekali mengadap!  Dulu, kawan-kawan Cina aku Leong dan Nancy selalu menegurku kerana aku makan banyak betul limau mandarin semasa aku mengandung.  Fikirku kalau limau aje, tentu banyak vitamin C.  Kata mereka, jangan makan banyak sangat, nanti sakit kerongkong. 

Masa aku dalam Darjah 4, aku berserta 4-5 orang rakan sekelas, beriya-iya beraya Cina ke rumah guru kelas kesayangan kami, Puan Lim Pin Teck yang ketika itu tinggal di Taman Forlong (kini dikenali sebagai Taman P. Ramlee) di Setapak.  Turun bas naik bas, jalan kaki lagi...kami cuma pergi ke rumah cikgu tu aje.  Dapatlah angpau 40 sen.  Cukup besar jumlah tu pada ketika itu (tahun 1973). 

Kemudian tahun 1977, kami juga turun bas naik bas beraya Cina di rumah classmate kami Yeo Bee Wah di Jalan Raja Laut.  Rumah kedai milik keluarganya, yang kini menjadi klinik gigi milik rakan kelas kami tu (Dr. Yeo).  Masa tu dapat angpau, kalau tak silap RM2 (banyak tu....sebab dia anak towkay kedai....hehehe). 

Juadah wajib Kong Hee Fatt Choy yang aku ingat ialah kuaci...pelbagai jenis dan warna.  Favourite sekali ialah kuaci hitam.  Kuaci belang kulitnya agak keras.  Kuaci merah kulitnya licin apabila terkena air liur ketika kita gigit kuaci itu untuk "memecah"kannya.  Lepas tu ada limau mandarin dan kacang.  Itu aje yang kami makan kalau beraya Cina.  Kini kalau nak makan kuaci pun, aku akan beli kuaci putih (pakai timbang) di pasaraya Giant atau Mydin.

Kalau Raya Cina ni beberapa perkara yang aku suka ialah :
i) Tarian Singa - amat mendebarkan bila melihat formasi "singa" melompat atas tiang-tiang yang tinggi
ii) Yee Sang - makanan eksotik yang cukup istimewa.
iii) Hiasan tema perayaan di komplek membeli-belah

Yang aku tak suka ialah :
Bunyi mercun yang cukup memekakkan!  Tapi sekarang ni Raya Puasa dan Deepavali pun ada orang main mercun juga.......

Kepada rakan-rakanku berbangsa Cina...Kongsi Kongsi.....Kong Hee Fatt Choy, dalam semangat 1 Malaysia!

No comments:

Post a Comment