Thursday, February 3, 2011

Memoriku..........Ecuador, suatu perjalanan yang cukup jauh

Rakanku Raiha memulakan perjalanannya yang sangat jauh 2 hari yang lalu untuk bertemu dengan suami tercinta yang bertugas di salah sebuah negara di benua Afrika.  All in katanya penerbangannya mengambil masa lebih kurang 22 jam untuk sampai ke destinasi. Mudah-mudahan ketika ini, beliau sudahpun tiba di Cameroon.

Aku terkenang perjalanan yang pernah kutempuhi, to be exact aku tak berapa ingat berapa jam all in, cuma kalau tak silapnya 36 jam.  Destinasiku Quito, Ecuador. Seingatku aku baru sahaja kembali bertugas setelah menghabiskan cuti bersalin selama 2 bulan, masa itu baby ku Anis baru sahaja berusia 4 bulan, tetiba dalam mesyuarat jabatan namaku naik untuk menghadiri satu persidangan sedunia papan lapis selama 4 hari di benua Amerika Latin tersebut.  Nak mengelak pun tak ada alasan kukuh.  Maka akupun buatlah persiapan yang sewajarnya untuk ke sana, within a short notice.

Masa tu awal bulan Mei 1995, aku berlepas dari Lapanganterbang Antarabangsa Subang, pada hari Jumaat, pukul 10 malam.  Perjalananku seperti berikut :

Kuala Lumpur - Frankfurt - Miami - Caracas - Bogota - Quito

Bayangkan aku travel berseorangan, sepanjang perjalananku aku tidak disapa oleh sesiapa, bahkan bila aku tersenyum pada orang, senyumanku tidak berbalas!  Aku cuma mengharapkan ada lah insan yang nak berbual denganku ketika itu.  Yang paling aku tidak tahan sekali ialah ketika transit di Bogota, aku dah jadi begitu tertekan sekali, naluri keibuanku tercabar.  Manakan tidak, ada pasangan yang travel membawa baby, dan tangisan baby tu saling tak tumpah seperti tangisan baby yang kutinggalkan di tanahair.  Sudahlah aku berasa amat asing sekali di bumi yang benar2 asing, aku duduk di balai berlepas sambil menangis tersedu-sedan merindui baby yang ku terpaksa tinggalkan di rumah.  Tangisan perlahanku ketika itu seiring tangisan baby tersebut! Sikap tidak ambil peduli rakyat asing jelas terbukti kerana tiada siapa yang ambil peduli sama ada kita menangis, atau berbuat apa sahaja di sisi mereka.  Oh ya, di lapanganterbang Bogota, kami bertukar pesawat yang mana aku terpaksa melalui pemeriksaan imigresen.  Aku terkejut disergah setelah body search dilakukan ke atasku, kerana aku memakai pouch berisi dokumen dan duit yang kuikat kemas dipinggang di bahagian dalam kemeja.  Mungkin disangkanya aku menyorokkan pistol....

Ingat lagi kan, aku bertolak hari Jumaat pukul 10 malam dari Kuala Lumpur?  Aku tiba di hotel penginapan di Quito pada hari Ahad, lebih kurang pukul 12 tengahari.  Seingatku, sebaik sahaja checked-in di hotel, aku terus mencapai telefon dan menelefon keluarga di Shah Alam. 

Bandaraya Quito, well....not bad after all.  Bahasa pertuturan yang digunakan ialah Spanish.  Orang-orangnya berkulit coklat, feature lebih kurang macam kaum red indian yang biasa kita lihat di televisyen.  Di sebabkan altitud atau ketinggian bandaraya Quito agak tinggi dari aras laut, kita yang tidak biasa akan keadaan itu akan mengalami sedikit rasa sukar untuk bernafas pada mulanya.  Suhu agak dingin. 

Tak banyak yang aku ingat fasal Quito, cuma aku cukup tertarik dengan sejenis flute tradisional yang biasa dimainkan oleh kaum pribumi di sana.  Bunyi flute yang diperbuat dari rotan/buluh cukup merdu.  Kaum pribumi lelaki yang lebih berusia masih mengekalkan tradisi bertocang, memakai topi dan rantai, bersandal dan memakai ponco.   

Di Quito, buat pertama kalinya aku melihat haiwan yang dipanggil Lhama, yang bulunya dijadikan pakaian musim sejuk.  Aku membeli cenderahati sekeping lukisan pemandangan yang dilukis di atas bulu Lhama, lukisan itu ku frame kan dan sehingga kini tergantung megah di ruang tamu rumah.  Fikirku lukisan tersebut tak pernah kulihat di mana-mana rumah lain di Malaysia....Semasa aku menghantar lukisan itu di kedai bingkai, ada beberapa pelanggan lain yang memuji lukisan tersebut atas keunikannya kerana dilukiskan di atas bulu Lhama dan ada yang menawarkan untuk membelinya.

Mujur juga semasa aku di sekolah menengah, aku belajar mengenai pelbagai negara dalam subjek Geografi.  Sekurang-kurangnya aku pernah menjejakkan kaki di negara Amerika Latin, yang kalau bukan kerana tugas mungkin aku takkan sampai di sini.    Bak kata abangku, Quito ini seumpama sebiji bola yang jika kita mencucuk sebatang besi merentasi bola itu, begitulah kedudukan Kuala Lumpur dan Quito.  Walau apapun, di Quito, aku telahpun berdiri di garisan 0 darjah iaitu garisan Khatulistiwa yang merentasi bumi. 

Begitulah, perjalanan paling jauh yang pernah aku tempuhi setakat ini.  Walau apapun, hakikat kehidupan sebenarnya perjalanan kita yang paling jauh ialah perjalanan hidup ini....yang kita sendiri tidak tahu bilakah akan sampai ke penghujungnya.

Untuk penerbangan balik, aku melalui sektor Quito - Miami - London - Kuala Lumpur.  Gara-gara flight delay dari Quito, aku bermalam satu hari di London tanpa dapat ke mana-mana kerana I was unprepared.  London...........?  destinasi impian kebanyakan orang.  Tak mengapa, alhamdulillah aku berpeluang ke sana sekali lagi tidak berapa lama kemudiannya. 

No comments:

Post a Comment