Tuesday, May 10, 2011

Puduraya...lain hulu lain parang, lain dahulu lain sekarang

Publisiti mengenai pembukaan dan facelift stesen bas Puduraya menarik perhatianku.  Puduraya meninggalkan nostalgia pada tahun lewat 70 an dan awal 80an ketika aku kerap berkunjung dan singgah ke sana untuk menggunakan perkhidmatan bas jarak jauh ke destinasi yang dituju.

Lewat 70an, aku yang tak pernah menaiki bas bagi perjalanan jarak jauh "terpaksa" menaiki bas bersama ibu, adik dan pasangan suami-isteri saudaraku menuju ke Batu Pahat untuk satu majlis perkahwinan.  Ayahku tidak dapat mengambil cuti, justeru kami menaiki bas sangkut (bertukar bas di setiap destinasi).  Sewaktu itu, bas ekspres tak banyak, justeru sewaktu cuti sekolah tiket bas ekspres macam goreng pisang panas larisnya.  Kami mengambil bas mengikut sektor KL-Seremban-Muar-Melaka-Batu Pahat. Bermakna kami terpaksa bertukar sebanyak 4 bas semuanya.  Di Puduraya, masalah utama ketika itu ialah orangramai tak pandai beratur...setiap kali bas datang penumpang akan berlari mengejar bas yang masih belum berhenti yang menuju ke platform bas tersebut.  Ada penumpang naik dari tingkap bas, ada yang naik ikut pintu kecemasan..memang kecoh suasana berebut bas ketika itu.  Kalau berebut ikut pintu bas, biasanya memang sakit-sakit badan nak memboloskan diri.  Pada masa beginilah ramai yang menjadi mangsa "raba", dan mangsa pencopet.  Dalam situasi yang hingar-bingar di stesen Puduraya ketika itu, tanpa disangka tetiba kami terserempak dengan sepupuku (yang remaja) ketika itu di Puduraya, beliau nak balik kampung ke Kuala Pilah dan sememangnya juga mengambil bas ke Seremban dahulu....abang sepupuku itulah yang "membantu" kami menaiki bas dengan mendokong aku naik bas melalui pintu kecemasan, adikku telah dihulurkannya melalui tingkap bas! Hahaha...memang lawak kalau kuingat peristiwa itu.

Ketika aku menuntut di UKM Bangi, aku juga turut menjadi pengunjung setia Puduraya, sama ada naik Bas Utama Ekspres yang melalui kampus, ataupun menaiki bas Foh Hup ke Kajang, dan seterusnya sambung menaiki bas Sum ke kampus.  Yang tak tahannya, seringkali bas di Puduraya tak ikut jadual, kalau tunggu di tempat menunggu di tingkat atas, tak dapatlah nak berebut menaiki bas, jadi kami terpaksa menunggu di tingkat bawah platform.  Jangan cerita lah tahap tepu karbon monoksid di situ.....

Kemudahan tandas memang mendukacitakan.  Beberapa rakan se kampus pula pernah mengalami kehilangan barangan seperti beg galas, purse dan selipar/kasut ketika bersolat di surau Puduraya.

Itu kenangan lama....diharapkan Puduraya sekarang yang kelihatan serba moden dan canggih berupaya memberikan sejuta kesenangan dan kemudahan kepada pengguna/penumpang bas, seperti kata pepatah "Lain hulu lain parang, lain dahulu lain sekarang".

No comments:

Post a Comment