Monday, June 27, 2011

Mengira selekoh

Pejam celik pejam celik, dah masuk 4 bulan anakku Anis belajar di Kuantan.  Pada peringkat awalnya saban minggu kami ke sana untuk menziarah sambil memberi sokongan moral kepada Anis; ialah dengan suasana kehidupan dan pembelajaran yang berbeza, belajar di tempat orang, kami sebagai ibu-bapa perlu memastikan Anis gembira dan pastinya dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan baru di sekolah berasrama penuh (SBP).  Aku sebagai ibunya sendiri merasa tinggal di asrama hanya ketika belajar di universiti pada usia menjangkau 20 tahun (selepas STPM).  Lagipun di peringkat awal, aku terlalu rindu dengan Anis.

Alah bisa tegal biasa, perjalanan hampir 275 km sehala ke Kuantan pada mulanya dirasakan agak jauh, kini dah macam terbiasa dengan keadaan itu.  Diam tak diam, sehingga tarikh semalam 26 Jun 2011, sudah 14 kali kami berulang alik ke Kuantan semenjak Anis masuk ke SBPI pada tarikh 28 Februari 2011.  Walau bagaimanapun dari bilangan 14 kali tersebut, termasuklah 3 kali aku ke sana atas urusan menghadiri mesyuarat PIBG.

Apabila aku ke sana seorang diri, aku akan menaiki bas ekspres yang memang banyak beroperasi ulang-alik ke Kuantan.  Hanya sekali aku berkapalterbang, itu pun disebabkan mesyuarat PIBG yang kuhadiri dijadual bermula jam 11 pagi.  Setakat ini aku pernah menggunakan khidmat bas Transnasional, Sani, Plusliner dan yang terakhir sekali pada minggu lepas ialah Bas Ekspres Kesatuan.

Yang aku nak ceritakan di sini ialah pernahkah kalian mengira berapa banyak selekoh di antara Tol Karak ke Genting Sempah; bahkan berapa banyakkah selekoh di antara Tol Karak ke Tol Gombak?  Masa menaiki Bas Ekspres Kesatuan tempohari, aku dapat kerusi betul2 di belakang pemandu bas dengan "view" yang luas dan jelas di hadapan.  Kebiasaannya aku suka menghabiskan masa membaca di dalam bas, akan tetapi pada hari tersebut aku mengambil keputusan untuk membuat kiraan selekoh, yang kukira begitu banyak.

Hasilnya, aku mendapati terdapat :
72 selekoh dari Tol Karak ke Genting Sempah
106 selekoh kesemuanya jika diambilkira bilangan selekoh dari Tol Karak ke Tol Gombak.
Ini bermakna, sebaik sahaja kita keluar dari terowong Genting Sempah, kita akan menempuh sebanyak 34 selekoh lagi menuruni bukit sehingga tiba di Tol Gombak.

Jika terdapat kesilapan kiraanku, mungkin kita boleh tolak-campur lebih kurang 5 selekoh.  Aku hanya mengambilkira selekoh yang agak "tajam" yang memerlukan pemandu memusing stereng melebihi 30 darjah.

Menarik tak? Rasa2nya selepas ini aku tidak akan mengira selekoh lagi...cukuplah sekali.

2 comments:

  1. rajinnye aunty kira selekoh :) uhuhu. :D

    ReplyDelete
  2. dalam kira selekoh, kalau I lah, mesti boleh terlelap :D

    ReplyDelete