Saturday, December 11, 2010

Hawaii Five-O

Sekarang ni aku begitu terpaku sekali menonton siri Hawaii Five-O versi original (keluaran tahun 1968 dan ke udara di televisyen Malaysia sepanjang tahun 70an) melalui rangkaian AXN Astro.  Ada juga versi baru (musim terbaru) yang memaparkan hero dan pasukan Five-O menggunakan nama dan watak-watak yang sama seperti versi ori, tapi aku masih belum terpaku menonton siri musim baru sepertimana versi ori.  Jack Lord, James MacArthur pelakon versi ori yang merupakan hero siri televisyen yang cukup hebat ketika itu.  Aku masih agak kecil lagi ketika itu (bersekolah rendah), yang kuingat Arwah ayahku suka benar menonton siri penyiasatan tersebut.  Seingatku lagi, pelakon Singapura Osman Zailani pernah membintangi siri tersebut...heboh jugalah cerita penglibatan aktor Melayu tersebut dalam siri keluaran Hollywood tersebut.  Siapa sangka....?

Yang aku tahu jalan ceritanya mudah, pelakonnya ada terdiri dari anak bangsa Kepulauan Hawaii sendiri, penggambarannya dibuat sepenuhnya di Kepulauan tersebut. Dikatakan warga Hawaii sendiri claimed ownership of the television series.  Hinggakan pernah aku terbaca dalam satu artikel mengatakan ada orang awam yang betul-betul ingin menghubungi pasukan Five-O ketika ditimpa musibah di Kepulauan tersebut, sedangkan hakikatnya pasukan Five-O hanya sekadar siri televisyen semata-mata dan tidak wujud dalam pasukan polis di Kepulauan Hawaii!          

Selain dari Hawaii Five-O, siri penyiasatan di televisyen sekitar tahun 70an memang amat bermutu dan ditontoni ramai antaranya seperti Mannix, Barnaby Jones, The Streets of San Francisco, sebelum disusuli pula siri Magnum P.I, Hart to Hart, McGyver dan Knight Rider yang begitu popular di tahun 80an.  Yang aku ingat siri dulu-dulu tersebut, hampir tiada adegan berkucupan; kalau adapun kalau hero nya jatuh cinta dan mempunyai pasangan wanita biasanya tak kekal lama, pasangan wanitanya akan mati terbunuh.  Justeru, kalau anak-anak menonton siri televisyen tersebut bersama-sama ibu-bapa pun tak perlu rasa kekok, tak lah macam siri televisyen sekarang memang tak sah kalau tak ada adegan intim sedemikian walaupun berstatus U (tontonan untuk Umum).

Berbalik kepada siri Hawaii Five-O versi ori, aku baru saja terbaca melalui msnbc.com, aktor James MacArthur yang membawa watak Danno baru sahaja meninggal dunia baru-baru ini dalam usia awal 70an, sementara hero siri tersebut Jack Lord telah lama meninggal dunia iaitu pada tahun 1998.  Sejauh mana hebatnya Hawaii Five-O versi baru, kita tonton ajelah dan buat penilaian selepas itu.  Walau apapun, antara daya tarikan siri tersebut sudah tentunyalah lagu tema Hawaii Five-O itu sendiri.  Best, kan?

No comments:

Post a Comment