Aku bukan pengkritik seni, tak layak nak bercakap tentang filem. Tapi yang pastinya aku amat mengagumi karya seniman Allahyarham P. Ramlee. Aku kehairanan anak2 yang kecil yang lahir berpuluh tahun selepas pemergian P. Ramlee pun mengenalinya. Aku ni ha, berpuluh-puluh kali menonton filem P. Ramlee pun tak jemu-jemu menontonnya walaupun jalan cerita dan dialognya kuhafal sudah. Di ofis, staf dan kawan-kawanku selalu buat lawak dialog P.Ramlee, sampai terbahak-bahak kami demi menghilangkan stres. Kebetulan pagi ke tengahari tadi aku menonton cerita Anak Bapak, untuk ke sekian kalinya, tanpa rasa jemu, bahkan tergelak dengan lawak bersahaja Ibrahim Din, Tompel dan P. Ramlee. Mari kita fikirkan kenapalah agaknya filem-filem P. Ramlee ni betul-betul "evergreen"?
Aku kira salah satu kekuatannya ialah "casting", pelakon utama waima pelakon tambahan juga hebat. Tengok saja cerita Pendekar Bujang Lapok, pelakon-pelakon tambahan kat jeti penambang walaupun hanya nak meramaikan "crowd" tapi betul-betul menjadi. Dari pakcik-pakcik tua yang wajah mereka betul-betul "ancient", sampaikan watak makcik yang beratur membawa sesisir pisang, benggali menjunjung bekas susu, semuanya menghidupkan suasana di jeti penambang tu. Cerita Masam-masam Manis pulak, makcik dari Alor Setar yang berdialog "...kalau hang pi Aloq Setaq, nanti kepala hang aku putaq" hinggalah watak Hashim yang nak beli kuda tujuh ekor dengan pistol dan baju koboi benar-benar mengesankan. Kalau pelakon utama jangan ceritalah, memang berkesan sungguh, Ahmad Nesfu, Sharifah Hanim, Sa'adiah, Aziz Satar, S. Shamsuddin dan tentunya hebat mutu lakonan mereka menjiwai watak yang dipegang.
Mesej kekeluargaan dan kemasyarakatan yang ditonjolkan oleh filem-filem P. Ramlee juga memainkan peranan keajaiban sentuhan P. Ramlee ni. Tengok aje cerita Penarek Beca, mulianya jiwa Amran berjaya menambat hati orang kaya bapak Azizah. Tak tahan tengok pakaian Amran yang compang-camping mengayuh beca, beli nasi 2 bungkus dikasinya pengemis yang kelaparan, sudahlah begitu satu-satunya bungkusan nasi yang dibawa balik terkena air hujan...sadisnya...Cerita Antara Dua Darjat juga memaparkan keturunan dan darah bangsawan tak semestinya mulia dan tidak boleh berkahwin dengan orang kebanyakan. Kemudian cerita Seniman Bujang Lapok, adegan benggali jaga Malay Film Studio yang mengatakan "apalah awak orang melayu selalu dengki sesama bangsa" memang betul pun....Sindiran dalam mesej yang disampaikan melalui dialog atau skrip filem-filem P. Ramlee memang kena pada tempatnya.
Ke"genius"an P. Ramlee terserlah dalam lawak-lawak dan adegan lucu yang tak mungkin kita lupakan sehingga kini. Umpamanya cerita Do Re Mi, lawak betul bila mengenangkan adegan Mahmud June menari berkeliling bulatan dikejar isterinya sambil anak menantunya memukul drum menggunakan sebelah tangan kerana sebelah tangan lagi digunakan untuk menutup muka (hahahah), adegan kejar-mengejar kereta sport putih P. Ramlee dengan kereta yang dinaiki ketiga-tiga isterinya di mana petugas ambulan meninggalkan pesakit di tengah jalan ketika mendengar deruman enjin kereta yang sedang kejar-mengejar tu. Adegan motorsikal yang nak dibetulkan bunyinya agar lebih senyap tapi "terbang" ke atas bumbung setelah di"repair" oleh Sudin juga sukar diterima akal tapi menyebabkan penonton tertawa dan tidak melupakan dialog dan skrip cerita berkenaan. Adegan "tuan penasihat 25 persen" dalam cerita Tiga Abdul juga menjadikan penonton tidak kering gusi sepanjang menonton filem-filem P. Ramlee.
Lagu-lagu merdu dendangan P. Ramlee dan Saloma sendiri sentiasa menjadi hit bukan hanya kerana kemerduan suara mereka bahkan lirik, melodi dan mesej lagu-lagu tersebut "synchronise" dengan tajuk dan jalan cerita berkenaan. Lagu "ada ubi ada batas" dalam cerita Anak Bapak secara "straight forward" mesej nya cukup jelas dan sinonim dengan peribahasa Melayu ada ubi ada batas ada hari boleh dibalas. Lagu yang cukup "melodious" seperti Getaran Jiwa dalam filem Antara Dua Darjat, serta Bunyi Gitar dan Tolong Kami Bantu Kami dalam cerita Tiga Abdul terus menjadi hit serta memberikan impak yang mendalam terhadap filem itu sendiri dan industri filem Melayu, khasnya.
Ada pendapat yang mengatakan filem-filem P. Ramlee banyak meniru idea filem-filem Cina dan Hindi, tapi sungguhpun begitu Allahyarham berjaya mengadaptasi idea itu mengikut budaya masyarakat Melayu dan Tanah Melayu ketika itu. Walau apapun, aku sebagai peminat setia P. Ramlee mengangkat beliau sebagai sorang genius Melayu yang memang tiada tandingan atau penggantinya sehingga kini. Baru-baru ini dalam lawatan keluarga kami ke Pulau Pinang pada bulan Jun tahun ini, kami berpeluang melawat "Rumah P. Ramlee" yang mengarkibkan khazanah peninggalan Allahyarham, serta rumah semasa P. Ramlee masih kanak-kanak. Secara peribadinya, aku berpendapat tempat itu seharusnya dilawati oleh semua peminat seni tanahair untuk lebih mengenali P. Ramlee. Namun satu kekurangan di situ ialah kalau tak silap aku, tiada satu pun gambar Bujang Lapok dalam koleksi gambar-gambar di situ. Mungkin aku terlepas pandang, tapi rasanya memang tiada gambar Bujang Lapok di sana; dan tak mungkin aku akan melepaskan peluang melawat Rumah P. Ramlee sekali lagi pada kunjungan aku ke Pulau Pinang nanti, demi memastikan perkara ini.
Tapi dalam banyak-banyak cerita P. Ramlee, kenapalah agaknya filem Sabaruddin Tukang Kasut amat jarang diulang-tayangkan di televisyen ya? Musykil juga ni....
No comments:
Post a Comment